Aktiviti Auto My ekzos.my Malaysia Autoshow

Malaysia Autoshow 2018 menjanjikan pengalaman berbeza

https://www.facebook.com/347021455508354/posts/917804548430039/

Berikutan kejayaan besar yang dicapai oleh edisi Malaysia Autoshow sebelum ini pada November 2017, Malaysia Automotive Institute (MAI) yakin bahawa pameran ini akan menarik lebih ramai pengunjung tahun ini dengan pengalaman yang lebih menyeluruh dan bermakna.

Edisi keempat pameran tahunan Malaysia Autoshow akan diadakan mulai 26 hingga 29 April, 2018. Buat kali kedua berturut-turut, pameran akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Mulai tahun ini, tarikh untuk Malaysia Autoshow akan berpindah dari November ke April untuk membolehkan lebih banyak aktiviti menarik dianjurkan di edisi yang akan datang.

Keputusan untuk memindahkan tarikh Malaysia Autoshow ke awal tahun juga adalah kerana kebanyakan pameran automotif utama seperti di Tokyo, Frankfurt dan Paris berlangsung pada separuh kedua tahun. Selain daripada mengelakkan kesesakan, tarikh baru di April akan membolehkan Malaysia Autoshow menyediakan pelbagai item pameran yang lebih menarik dari seluruh dunia di masa akan datang seperti kenderaan konsep dan teknologi terkini berkaitan dengan pengangkutan dan mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Dato’ Madani Sahari berkata bahawa keputusan untuk mengadakan pameran di MAEPS pada tahun lepas membolehkan lebih banyak daya tarikan serta pengalaman baru disediakan sehingga mampu mencatatkan lebih 250,000 orang pengunjung.

“Tapak pameran yang luas membolehkan pandu uji kenderaan yang lebih lama dijalankan selain lebih banyak aktiviti luar dilaksanakan oleh jenama kereta yang menyertai terutamanya bagi menunjukkan pelbagai ciri istimewa produk mereka. Pengalaman sebenar yang dirasai oleh pengunjung sudah tentu menyumbang kepada penjualan yang lebih tinggi serta pandangan yang lebih positif terhadap apa yang mampu ditawarkan oleh industri automotif Malaysia,” beliau berkata.

Hampir kesemua jenama automotif terbesar di Malaysia akan mengambil bahagian dalam pameran tahun ini yang bertemakan ‘360-degree Mobility Experience’. Lebih 100 buah kereta termasuk model-model terbaru di pasaran serta kereta klasik Volvo akan dipamerkan.


Antara daya tarikan Malaysia Autoshow 2018 termasuklah:
• Peluang untuk memahami masa depan mobiliti di Intelligent Mobility Experience (IMEX);
• Sebuah kereta Kia Picanto bagi pemenang Cabutan Bertuah (Dibuka kepada pengunjung dengan tiket yang berbayar ke Malaysia Autoshow 2018 tertakluk kepada syarat);
• Penampilan sulung jenama legenda Jerman, Borgward, yang dibawakan oleh GO Exim Sdn Bhd;
• Peluang untuk memiliki set setem peribadi yang sah dari POS Malaysia. Cuma ambil gambar anda bersama kereta kegemaran menggunakan telefon pintar dan bayar RM20 untuk mendapat koleksi setem peribadi yang akan dicetak serta merta;
• Pakej pinjaman yang paling menarik daripada Maybank yang sah untuk kereta yang dibeli di pameran; dan
• Pakej pelancongan percuma ASEAN (tiket penerbangan dan penginapan) bagi lapan orang pelanggan bertuah yang menempah kereta semasa pameran (tertakluk kepada syarat).

Manakala di kawasan luar pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuklah:
• Demonstrasi Autonomous Emergency Braking (AEB) oleh kereta Perodua;
• Pemeriksaan percuma untuk kereta;
• Pelumbaan go-kart;
• Cabaran Laluan Mitsubishi;
• Pameran Music on Wheels menampilkan penambahan sistem hiburan dalam kenderaan;
• Pengalaman memandu laluan lasak oleh kelab 4×4;
• Pengalaman 4×4 Toyota;
• Demonstrasi bantuan menukar lorong dan kawalan jelajah adaptif menampilkan teknologi Honda Sensing;
• Sesi pandu uji untuk model terbaru;
• Tapak bertema Budaya dan Masakan; dan
• Trak makanan.

Maybank merupakan rakan kewangan rasmi bagi Malaysia Autoshow 2018 dan akan menawarkan penyerahan melalui dalam talian bagi permohonan sewa beli serta diskaun untuk pembelian tiket masuk menggunakan opsyen QRPay yang disediakan oleh bank.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, “Sebagai salah sebuah syarikat pembiayaan automobil terbesar Malaysia dengan bahagian pasaran melebihi 25%, Maybank sentiasa memberi sokongan kepada pertumbuhan industri auto Malaysia dan akan menawarkan pakej pembiayaan yang menarik serta fleksibel semasa pameran.”

“Selain itu, menerusi kerjasama dengan pengedar kereta, permohonan pembiayaan akan menjadi lebih mudah kerana pelanggan boleh menyerahkannya melalui dalam talian menerusi Maybank Auto Dealer Portal bagi urusan yang lebih pantas dan lancar,” katanya.

Tiket masuk bagi Malaysia Autoshow 2018 adalah RM10 seorang. Masuk adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Pelajar juga diberi kemsaukan percuma pada hari Khamis, 26hb Mac, 2018. Pengunjung juga boleh menikmati diskaun harga tiket dengan membuat pembelian secara dalam talian di www.autoshow.com.my. Ekzos.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *