BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW i8 Coupé yang Baharu, ia merupakan interpretasi terkini bagi jentera perintis BMW i8 yang melambangkan revolusi kombinasi kuasa yang ekstrem dan tahap keefisienan yang tiada bandingannya.
En. Raymond Tan, Ketua Bahagian Jualan BMW Malaysia berkata, “Pada tahun 2014, BMW telah mendefinisikan semula konsep ‘supercar’ dengan BMW i8. Melalui rupa paras dan tarikannya, kereta sport ini melambangkan sebuah ketibaan dari masa hadapan, dan lebih penting lagi, BMW i8 menggambarkan cita-cita BMW Group yang lantang untuk membentuk masa hadapan industri automatif dalam aspek Mobiliti Elektro.”
Kedudukan BMW Group sebagai peneraju global bagi penawaran kenderaan mobiliti berelektrik premium ditekankan melalui pertumbuhan yang memberangsangkan dalam penyerahan unit kenderaan elektrik syarikat ini. Di peringkat global, BMW Group berjaya menyerah lebih daripada 100,000 unit kenderaan elektrik pada tahun lepas. Hari ini, jualan terkini kenderaan elektrik BMW dan MINI berjumlah lebih daripada 71,000 unit, ia merupakan peningkatan sebanyak 40.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. BMW Group berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran penyerahan melebihi 140,000 unit kenderaan elektrik pada tahun 2018.
Di peringkat domestik, BMW Group Malaysia mempunyai prestasi yang cemerlang dengan jumlah penyerahan terkini bagi kenderaan elektrik BMW dan MINI merangkumi lebih daripada 55% daripada keseluruhan jumlah penyerahan unit kenderaan.
Sejajar dengan pelan global BMW Group untuk memperkukuhkan mobiliti masa hadapan, BMW Group Malaysia komited untuk merealisasikan janjinya melalui pelan untuk memacu e-mobiliti ke hadapan. Perihal ini dibuktikan melalui inisiatif syarikat tersebut untuk menggalakkan inovasi, keupayaan pemasangan di peringkat tempatan, kesedaran terhadap teknologi yang bersih dan baharu bagi industri automotif serta untuk mengubah infrastruktur kenderaan premium di dalam negara.
BMW Group Malaysia sedang mengorak langkah ke hadapan dengan komitmen yang kukuh terhadap Mobiliti Elektro selari dengan Pelan Induk Pembangunan Mobiliti Elektrik Negara (EMB) yang merangka sebuah pelan komprehensif untuk menjadikan Malaysia sebagai hub serantau bagi Kenderaan Elektrik oleh Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), iaitu rakan kerjasama BMW Group Malaysia bagi programnya yang dinamakan 360° ELECTRIC.
Buat julung kalinya, pengeluar kenderaan premium ini juga akan menjadi penaung Elektro Mobiliti di Persidangan Industri Pembekal Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018. Ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula dari 17 hingga 22 September yang akan menyaksikan syarikat-syarikat tenaga yang terkemuka untuk bersua dan berkongsi idea baharu mengenai trend masa hadapan bagi industri tenaga.
Berpandukan tema, “Reimagining Utility of the Future”, acara tersebut juga akan menampilkan Ketua Pengurus Produk BMW i, Dr. Alexander Kotouc sebagai pengucap utama yang akan mengambil peluang tersebut untuk mengongsikan pelan dan visi BMW Group sebagai peneraju dalam kelestarian automotif dan mobiliti progresif. Penyertaan BMW Group Malaysia menegaskan sokongannya terhadap komitmen kerajaan ke atas agenda perubahan iklim untuk meneroka dan mengimplementasi alternatif yang munasabah bagi kegunaan tenaga hijau (green energy).
Reka bentuk BMW i8 Coupé Baharu yang unggul: Tarikan emotif digandingkan dengan kefungsian.
BMW i8 Coupé yang Baharu merupakan satu lagi ikon BMW i yang akan mendefinisikan semula teknologi kenderaan Hibrid Plug-in. Generasi visi terbaharu ini juga bercirikan seni bina kenderaan LifeDrive serba baharu yang akan melengkapi kesemua model BMW i yang akan datang. Ia menawarkan struktur berbahagi yang merangkumi casis aluminium dan sel penumpang CFRP untuk memberikan darjah kebebasan yang luar biasa bagi rekaan kenderaan ini. Penggayaan yang bervisi ke atas jentera BMW i8 Coupé bukan sahaja dapat menonjolkan keupayaan dinamik kenderaan ini, malah dapat menunjukkan tahap keefisienannya yang menakjubkan.
Usaha BMW Group untuk merealisasikan mobiliti bervisi didorong oleh keupayaan teknologi dan ia dibuktikan sekali lagi oleh pencapaian BMW i8 yang berjaya merangkul empat kemenangan secara berturut bagi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sejak tahun 2015. Ia merupakan sebuah pengiktirafan yang setimpal bagi teknologi luar biasa drivetrain jentera ini yang menggabungkan enjin pembakaran tiga silinder dan motor elektrik dengan kaedah yang paling efisien secara inovatif – ia merupakan sebuah tanda aras terbaharu yang diwujudkan oleh BMW Group sendiri.
Melalui pencapaian dan pengiktirafan yang berprestij, termasuk Anugerah iF Design dan Anugerah Red Dot, ia membuktikan taraf kualiti dan tarikan terhadap seni bina LifeDrive yang baharu bagi model-model BMW i. Struktur berbahagi yang mendatar meliputi casis aluminium dan suspensi serta semua komponen pemanduan di bahagian bawah, dan sel penumpang CFRP di bahagian atas; menawarkan darjah kebebasan rekaan yang memberangsangkan. Produk kejuruteraan yang pintar ini mewujudkan kedudukan yang optimal bagi komponen-komponen pemanduan yang penting supaya kebolehan pengendalian yang terbaik dapat dikecapi, di samping menawarkan kelebihan dari segi berat struktur tersebut melalui sel penumpang yang diperbuat daripada gentian karbon.
Tempat duduk 2+2 kenderaan ini disoroti dengan keseimbangan, jaluran dan reka bentuk permukaannya. Bonet yang rata, pendekatan aerodinamik yang telus, rungkup (overhang) yang pendek, jarak gandar (wheelbase) yang lebih panjang, kelebaran trek roda yang tinggi, dan garis bumbung yang landai kebelakang mewujudkan aura yang serba dinamik, ringan dan efisien. Siluet BMW i8 Coupé yang mendatar dan diperkemas ini digabungkan dengan rekaan badan yang berbentuk baji dan boleh dilihat dengan jelas, lantas memberikan jentera ini rupa paras kereta sport klasik – iaitu sebuah impresi yang ditonjolkan lagi melalui set pintu gunting (scissor doors) yang membuka ke arah atas dengan penuh gaya.
BMW i8 Coupé Baharu didatangkan dengan teknologi aerodinamik yang optimum, ia membolehkan derasan udara yang melalui kenderaan ini untuk disalurkan dengan cara yang paling berkesan. Kelebihan ini dapat dikecapi melalui kombinasi efek yang disumbangkan oleh ciri-ciri kenderaan ini seperti kedudukan bonet yang rendah, sistem pengawal flap udara (air flap), ‘Air Curtains’ di bahagian apron hadapan, bawah badan kenderaan berpenutup (sealed underbody), skirt sisi yang berkontur, jaluran “Stream Flow” di kedua-dua sisi kenderaan tersebut, dan duktus udara (air ducts) yang terletak di antara lampu belakang dan bingkai bumbung. Pergerakan udara penyejuk di bahagian hadapan juga kini dilencongkan. Udara kini akan melalui kenderaan tersebut dari bahagian sisi berhampiran lengkungan roda (wheel arches) ke arah bawah badan kenderaan, dan bukannya melalui outlet yang terletak di bonet. BMW i8 Coupé Baharu ini dilengkapi dengan roda beraloi ringan BMW i bersaiz 20 inci dengan penggayaan radial-spoke dan warna hitam (516 jet black).
Teknologi BMW eDrive yang teroptimum: Kuasa yang lebih tinggi, capaian yang dipertingkat – pengalaman pemanduan elektrik kini dinaiktaraf.
Teknologi drivetrain BMW i8 Coupé Baharu yang canggih ini merangkumi motor elektrik pada gandar hadapan dan enjin pembakaran dalaman pada gandar belakang. Kuasa enjin ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic enam kelajuan, manakala motor elektrik memacu roda hadapan melalui kotak gear automatik dua kelajuan.
Kenderaan ini juga mempunyai pusat graviti yang rendah ekoran penempatan bateri bervoltan tinggi di bahagian tengah pada bawah badan jentera ini, dan bateri tersebut mempunyai kapasiti sel bateri yang lebih tinggi, iaitu 33 Ah berbanding kapasiti terdahulu yang berjumlah 20 Ah. Penjanaan kuasa motor elektrik tersebut ditingkatkan sebanyak 9 kW kepada 105 kW, dan capaian elektrik bateri tersebut mencecah 55 kilometer – lantas, meluaskan lagi capaian elektrik kenderaan ini melepasi had yang lazim di kawasan bandar.
Enjin pembakaran 3 silinder dengan pengecas turbo yang dilengkapi ciri suntikan terus (direct injection) dan pemasaan injap pembolehubah VALVETRONIC (VALVETRONIC variable valve timing) dapat menjana output maksimum sebanyak 170 kW/231 kk (kuasa kuda) melalui penyesaran bahan bakar yang hanya berjumlah 1.5 liter, serta tork tertinggi pada tahap 320 Nm. Enjin tersebut disuai dengan baik dan mengeluarkan bunyi sporty yang lebih unik. Ia juga dilengkapi dengan penapis zarahan (particulate filter) sebagai penawaran asas yang dapat meresap zarahan yang terkandung dalam gas ekzos melalui kaedah yang efektif.
Output sistem kenderaan ini yang merangkumi motor elektrik dan enjin yang berfungsi secara bersama juga ditingkatkan kepada 275 kW/374 kk. Ia dapat memecut dari kelajuan 0 sehingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat, dengan penggunaan bahan bakar sebanyak 1.8 l/100 km yang bersamaan dengan 42 g/km bagi emisi petrol CO2, serta penggunaan kuasa elektrik sebanyak 14.0 kWj/100 km.
Jumlah situasi yang hanya memerlukan penggunaan motor elektrik untuk menguasakan kenderaan ini juga telah ditingkatkan dengan signifikan. Enjin pembakaran hanya akan memainkan peranannya ketika pemacuan tahap tinggi dilakukan dan ia akan dimatikan semula dengan kerap berdasarkan gaya pemanduan.
Dalam mod eDrive, iaitu mod pemanduan elektrik sahaja, pecutan dan nyahpecutan boleh dilakukan dengan lancar melalui pedal minyak sahaja. Jika pemandu tidak menekan pedal minyak, motor elektrik akan berfungsi sebagai penjana yang akan menukar tenaga kinetik kenderaan tersebut dan menyalurkan tenaga itu semula ke bateri lithium-ion bervoltan tinggi. Proses penjanaan semula tenaga brek ini menghasilkan momentum brek yang dapat memerlahankan kenderaan tersebut dengan lebih berkesan.
Dalam mod hibrid, motor elektrik tersebut akan memberikan rangsangan kuasa sebagai bantuan kepada enjin apabila pemecutan pada tahap yang tinggi perlu dilakukan. Motor elektrik ini juga boleh mengumpul semula tenaga dan menyalurkannya ke bateri bervoltan tinggi semasa kereta tersebut bergerak tanpa tekanan pada pedal minyak dan ketika membrek. Enjin petrol yang bercirikan penjana pemula (starter-generator) bervoltan tinggi juga boleh menjana tenaga elektrik simpanan tambahan, lalu memastikan tenaga yang mencukupi tersedia pada setiap masa untuk sistem pemanduan elektrik bagi BMW i8 Coupé Baharu ini.
Pengurusan tenaga pintar (intelligent energy management) mempunyai fungsi proaktif yang canggih untuk mengoptimumkan tahap keefisienan. Apabila fungsi panduan jalan yang dilengkapi pada sistem navigasi kenderaan ini diaktifkan, sistem pengurusan tenaga akan memastikan motor elektrik digunakan secara ekstensif dan dengan sebaik yang mungkin dari sudut keefisienan. Sistem tersebut menganalisa haluan dengan lengkap dan akan menggerakkan sistem pengurusan powertrain untuk berfungsi hanya dengan kuasa elektrik, khususnya ketika dalam pemanduan berkelajuan rendah.
Rekaan dalaman inovatif dengan rupa paras baharu yang pelbagai.
Ruangan dalaman BMW i8 Coupé yang Baharu ini disinambungkan dengan rekaan progresif daripada bahagian luaran kenderaan tersebut melalui orientasi pemanduan BMW i8 klasik yang selari dengan konsep sporty dan dinamik. Bahagian atas konsol pusat yang bersambung pada panel instrumen, melengkung ke arah pemandu pada sudut 12 darjah. Kesemua elemen pengawal dan paparan terletak dalam jarak capaian yang sempurna serta mudah untuk dilihat dan dibaca oleh pemandu.
Kokpit jentera ini dilengkapi dengan Paparan Head-up BMW yang boleh bertukar ke paparan sport dan merangkumi rev enjin (rpm), gear, serta lampu penukaran gear (shift lights) apabila gear ditukar secara manual dalam mod SPORT. Sistem Navigasi Profesional (Navigation System Professional) pula mempunyai pengantara muka pengguna (user interface) yang terkini, termasuk paparan ‘tile’ moden dengan mod ‘live’. Ia dikawal menggunakan sistem operasi iDrive, yang meliputi Touch Controller di konsol pusat dan skrin Control Display bersaiz 8.8 inci.
Penambahan sentuhan futuristik di ruangan dalaman kenderaan ini ialah trim Karbon CFRP ‘open-pore’ pada konsol pusat, pemegang pintu serta inlai papan pemuka (dashboard inlay), pengawal berseramik (ceramic controls) dengan logo i8 yang diembos pada Pengawal iDrive (iDrive Controller), dan kemasan seramik pada tuil pemilih gear. Suasana rekaan yang berimpak ini memberikan pemandu sebuah impresi kebersamaan dengan jentera alaf baharu ini.
Ciri BMW Connected pula menyambungkan dunia digital pengguna dengan BMW i8 Coupé Baharu ini, dibantu dengan Remote App – yang membolehkan para pemandu untuk memeriksa dan mengawal kenderaan mereka, dan kekal lebih efisien walaupun ketika dalam perjalanan. BMW Connected menawarkan pelbagai kemudahan, ia merangkumi status pengecasan terkini yang akan ditunjukkan kepada pemandu, jarak dan masa bertolak untuk memastikan kenderaan ini dicas bagi perjalanan yang seterusnya, membantu pemandu mencari stesen pengecas dan menghantar lokasi stesen tersebut terus ke kenderaan mereka, akses terhadap rating keefisienan bagi perjalanan yang sebelumnya, tutorial bagi pemanduan efisien serta kalkulator CO2. Fungsi kawalan jauh seperti Remote Door Lock & Unlock, Remote Light Flash dan Remote Horn Blow juga boleh diaktifkan.
Luaran jentera BMW i8 Coupé Baharu didatangkan dengan warna putih (Crystal White) bersama sorotan warna kelabu (Frozen Grey), atau warna kelabu (Donington Grey) istimewa BMW Individual yang baharu, dengan rekaan Black Amido atau Accaro pada ruangan dalaman. BMW i8 Coupé Baharu ini boleh didapati melalui pengedar- pengedar BMW i yang bertauliah di seluruh negara bermula hari Selasa, 14 Ogos 2018.
Program Pembiayaan Dinamik.
Dengan Balloon Financing Plan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i8 Coupé Baharu boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM 15,088.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).
Pengalaman Pemilikan Premium yang Menyeluruh.
Pembeli BMW i8 Coupé Baharu juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:
- Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.
- Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre.
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW.
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card.
- Servis Atas Talian oleh BMW.
Harga jualan (atas jalan, dengan kadar GST 0%, tanpa insurans dan SST) BMW i8 Coupé Baharu ialah:
Semenanjung Malaysia | – RM 1,310,800.00 |
Sabah dan Sarawak | – RM 1,313,992.00 |
Langkawi | – RM 862,800.00 |