PROTON hari ini mengumumkan bahawa Syarikat telah menerima lebih 10,000 tempahan bagi SUV pertamanya iaitu Proton X70, pada pelancaran rasmi Ming Heng Motor Sdn Bhd, pengedar 4S baharu di Setapak. PROTON juga menyatakan bahawa cawangan yang mendapat kelulusan untuk 3S/4S telah melebihi sasaran dan menerima banyak lagi permohonan untuk membuka cawangan.
Tempahan Proton X70 melebihi 10,000 unit
SUV pertama PROTON yang dinanti-nantikan iaitu Proton X70, telah dibuka untuk tempahan pra-pelancaran dari 8 September 2018. Pelanggan yang berminat dialu-alukan untuk membayar deposit tempahan di cawangan PROTON tetapi sejak 17 Oktober lalu, mereka turut dapat menggunakan platform tempahan dalam talian yang membolehkan tempahan dibuat di mana-mana sahaja sekiranya terdapat sambungan internet.
Setakat ini, sambutan daripada rakyat Malaysia sangat menggalakkan kerana jumlah tempahan yang diterima melebihi 10,000 unit dan hampir 2,000 daripada tempahan itu dibuat secara dalam talian, di mana ia merupakan keputusan tepat yang dibuat Syarikat untuk mewujudkan dan melancarkan kemudahan tersebut.
“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada PROTON terutamanya apabila kami mula menerima tempahan untuk Proton X70. Meskipun kami perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana kami telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuklah mereka yang menempah melalui dalam talian di mana ianya melebihi jangkaan kami. Kami tidak pasti bagaimana reaksi pelanggan terhadap kaedah baharu yang digunapakai ini tetapi penerimaannya menunjukkan cara bagaimana kereta perlu dijual pada masa akan datang.
“Buat masa ini kami berharap agar pelanggan bersabar kerana kami sedang membuat persiapan akhir pelancaran Proton X70. Model ini akan menjadi SUV pertama Proton serta kereta pertama yang dihasilkan bersama oleh PROTON dan Geely. Kami sedang berusaha keras untuk memastikan model ini adalah seperti apa yang diharapkan oleh pembeli dan pada masa yang sama kami turut mengeluarkan pelaburan yang banyak pada cawangan-cawangan pengedar supaya kami mempunyai perkhidmatan jualan dan servis selepas jualan yang diperlukan untuk menyokong produk yang penting ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
Sasaran bagi kelulusan cawangan 3S/4S tercapai
Dengan menyatakan sasarannya untuk mencapai kelulusan sebanyak 109 cawangan bagi 3S/4S pada awal tahun ini, PROTON mengumumkan Syarikat kini telah mencapai lebih dari jumlah sasarannya. Setakat ini, sebanyak 113 kelulusan permohonan cawangan telah direkodkan, mencatatkan pencapaian sebanyak 104% berbanding sasaran yang ditetapkan.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia bermakna pasaran telah menerima baik jenama PROTON dengan menganggap ia sebagai pelaburan yang baik. Saya memuji usaha para pengedar sedia ada yang mengambil peluang untuk terus melabur dengan kami serta pengedar baharu untuk kepercayaan dan visi mereka yang melihat potensi PROTON dalam pasaran automotif ketika ini dan pada masa hadapan,” tambah Dr Li Chunrong.
“Apabila JD Power mengeluarkan kedudukan Indeks Kepuasan Jualan 2018 (SSI) bagi jenama automotif, ia menunjukkan PROTON telah meningkat ke tangga keenam dengan skor sebanyak 782 mata. Walaupun kami tidak berpuas hati, kami masih berjaya mengatasi skor beberapa pesaing utama kami, di mana ini menandakan pelanggan telah menerima secara positif usaha kami dalam memberikan yang terbaik untuk mereka. Saya percaya dengan usaha yang bersepadu ini, kami boleh mencapai sasaran untuk menjadi nombor tiga yang teratas menjelang 2019,” katanya.
Cawangan 4S baharu dibuka di Setapak
Ming Heng Motor Sdn Bhd (Ming Heng) adalah pengedar 4S terbaharu di dalam senarai cawangan 4S PROTON. Terletak di Jalan Genting-Klang, cawangan ini mempunyai keluasan sebesar 3,074 meter persegi dan kos pelaburan sebanyak RM6 juta. Kemudahan yang disediakan termasuklah 14 ruang penyelenggaraan dengan 12 servis pengangkat, ruang istirahat pelanggan, ruangan minuman, Wi-Fi percuma, kawasan permainan kanak-kanak, kawasan mengecas komputer riba dan telefon bimbit serta bilik solat untuk kemudahan pelanggan. Pusat ketuk dan cat sedang dibaikpulih dan akan beroperasi pada Disember 2018.
“Keputusan yang diambil untuk menjadi pengedar PROTON adalah kerana Ming Heng yakin dengan potensi jenama PROTON pada masa hadapan. Kami berterima kasih kerana permohonan diterima dan menantikan keuntungan bersama yang menumpukan pada penghasilan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan,” kata Eric Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Ming Heng Motor Sdn Bhd.