Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
PESERTA kreatif negara, Mohamad Ridzuan mendapat suntikan moral menjelang pertandingan kemahiran WorldSkills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Rusia bulan depan.

Ia rentetan Naza Group telah menyumbangkan sebuah kereta Kia Cerato kepada Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang akan digunakan sebagai persediaan Mohamad menjelang kejohanan itu nanti.
Pada kejohanan yang bakal berlangsung bermula 16 Ogos itu, Mohamad akan bertanding menerusi kategori mengecat kereta.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings, SM Nasaruddin SM Nasimuddin dalam kenyataannya berkata, pihaknya berbesar hati dapat memberikan sokongan kepada
Kementerian Belia dan Sukan serta Mohamad yang akan mewakili negara pada kejohanan berprestij itu.
“Pihak Naza sentiasa komited untuk menyediakan platform buat golongan belia merealisasikan impian menjadi kenyataan.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohamad dan berdoa supaya berjaya meraih kejayaan pada WSC 2019,” katanya.
Kejohanan WSC diperkenalkan bagi menggilap bakat dan skil golongan belia sekali gus mencetuskan inspirasi untuk menjadikan minat masing-masing sebagai kerjaya.
Sebanyak 60 negara yang juga anggota WorldSkills International (WSI) akan mengambil bahagian pada tahun ini. – Ekzos.My