Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
BERITA gembira buat penggemar motosikal berkuasa tinggi Ducati.
Pengedar rasmi Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn. Bhd. dalam kenyataannya kepada EkzosMY membayangkan edisi terhad Ducati Panigale V4 25 Anniversario 916 dijangka berada dalam pasaran tempatan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Model edisi terhad itu telah dilancarkan secara rasmi di Pebble Beach, California, Amerika Syarikat di hadapan juara superbike dunia sebanyak empat kali, Carl Fogarty minggu lepas.
Bersempena dengan ulang tahun Ducati 916 yang ke-25, hanya 500 buah model Ducati Panigale V4 25 Anniversario 916 bernombor yang akan dijual serta dilengkapi komponen asli dan eksklusif.

Apa yang pasti, Ducati 916 ditakdirkan untuk mengubah dunia reka bentuk motosikal dan menjadikan peminat di seluruh dunia jatuh cinta kepadanya.
Disifatkan unik yang bergaya, elegan, ringan dan berteknologi inovatif, Ducati 916 adalah tonggak sejati jentera motosikal buatan Itali. – EkzosMY