Sebuah Nissan Skyline GT-R V-Spec keluaran tahun 2000 menjadi model paling mahal dijual pada acara lelongan Classic Car Auction bertarikh 3 Ogos lalu.
Kereta dambaan ramai dengan dengan warna biru ikonik buatan Jepun itu dijual pada harga £62,715 (RM318,700).
Laman Classic Car Auction menawarkan lebih 180 buah kereta keluaran firma-firma Jepun dan Eropah pada acara lelongan itu dan berjaya mengumpul hasil lebih £1.9 juta (RM9.66 juta).
Jualan itu cuma membabitkan kira-kira 60 peratus kereta dijual dan banyak lagi masih gagal menemui pembeli atau pemilik baru.
Selain Skyline biru, ada beberapa model Jepun khasnya kereta berprestasi turut dijual dan ini termasuk dua model Honda.
Honda Integra Type R edisi 2000 mencatat lelongan setinggi £12,432 (RM63,195) manakala Honda NSX V6 3.2 liter manual berwarna biru dengan harga £53,280 (RM270,830).
Ada dua unit Mitsubishi Lancer Evo 2 Tommi Makinen Edition masing-masing berwarna merah dan putih ditawarkan untuk jualan.
Model pertama dengan warna ikonik merah mencatat harga £27,750 (RM141,057). Jentera sama berwarna putih keluaran tahun 2000 pula dibeli dengan harga £24,975 (RM126,952).
Peminat Subaru juga menyaksikan tawaran model Impreza P1 keluaran tahun 2001 dan kereta itu dijual pada harga £22,755 (RM115,630).
Subaru WRX STi Type RA Versi 5 Ltd Edition dengan tona biru buatan tahun 1999 mencatat harga lelongan akhir serendah £15,762 (RM80,100).
Sebuah Mazda RX-7 Sprint R Type-A yang dikeluarkan pada tahun 2003 berjaya meraih harga jualan £41,625 (RM211,530).
Sumber asal: https://www.classiccarauctions.co.uk