PUSINGAN keempat bagi musim ketiga Festival Perlumbaan Toyota Gazoo yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang selama dua hari bermula 18 April depan dijadual diadakan secara tertutup.
Ketua Pegawai Permotoran UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, langkah terbabit diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19 pada masa ini.
“Pendekatan mengadakan festival perlumbaan Toyota Gazoo ini secara tertutup demi kesejahteraan rakyat Malaysia termasuk pelumba, selebriti terlibat, pasukan dan krew.
“Sehubungan itu, ia tidak akan dibuka kepada umum dan kami percaya keputusan ini berikutan perkembangan semasa dapat difahami sebaiknya oleh peminat tegar Toyota Gazoo,” karanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takeyama berkata, pemeriksaan kesihatan melibatkan kesemua pihak terlibat juga akan dilakukan sebelum perlumbaan tertutup tersebut berlangsung pada hari kejohanan.
Menurut beliau, bagi tidak menghampakan peminat, perlumbaan tertutup berkenaan akan ditayangkan secara langsung di laman Facebook dan Youtube Toyota.
“Sehubungan itu, jangan lepaskan peluang mengikuti perkembangan terkini Festival Perlumbaan Toyota Gazoo menerusi media sosial Toyota,” ujarnya. Admin01