Toyota dengan rasminya melabuhkan tirai bagi acara Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge Musim Ketiga dengan menobatkan tiga pemenang kejuaraan bagi perlumbaan tahun ini yang sempat berlangsung dengan meriah sebelum terbantut akibat penularan wabak pandemik Covid-19.
Musim ketiga menyaksikan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Super Sporting bagi pemandu-pemandu profesional, sementara Hayden Haikal yang baru berusia 16 tahun pula menjadi juara kategori Sporting bagi pemandu amatur manakala personaliti TV dan pemuzik Shawn Lee muncul juara untuk kategori Promotional yang terdiri daripada barisan pelumba selebriti.
Para Pelumba berjaya menamatkan 75% daripada siri perlumbaan musim ini atau bersamaan tiga daripada empat perlumbaan yang ada, acara kemuncak yang sepatutnya berlangsung pada 17-19 April lalu di Litar Sepang terpaksa dibatalkan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020, yang melarang penganjuran acara melibatkan perhimpunan umum sehingga akhir tahun ini.

“Ini tentulah bukan cara yang kami inginkan untuk menamatkan sebuah siri perlumbaan yang biasanya akan bertambah sengit dan mendebarkan pada perlumbaan terakhir kejuaraan. Seperti dua musim lalu, Toyota Vios Challenge menjadi sebuah perlumbaan unik yang melibatkan hanya satu model kenderaan sahaja. Acara yang memberi penekanan terhadap persaingan yang saksama dan adil serta bergantung kepada kecekapan memandu sepenuhnya sebagai kayu ukur terpenting ini bagaimanapun tidak memperoleh kedudukan jelas bagi kedudukan pemenang selepas perlumbaan terakhir Februari lalu. Perlumbaan terakhirnya bagaimanapun perlu dibatalkan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan warga awam dan juga kepentingan negara terjamin,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran, Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Akio yang juga Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd berkata, keputusan akhir pemenang diambil selepas perbincangan teliti dengan mematuhi serta konsisten terhadap semua penetapan yang digariskan oleh peraturan teknikal kejuaraan, serta melalui perbincangan dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). Keputusan yang dicapai juga sangat konsisten dengan cara terbaik yang diamalkan oleh penganjuran perlumbaan antarabangsa.

Musim ketiga siri perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge telah bermula di Kuala Terengganu pada 5-7 September 2019, sebelum berlangsung di Bandar Malaysia pada 9-10 November 2019 dan seterusnya di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14-16 Februari 2020 untuk pusingan ketiga.
Bergerak ke hadapan, Akio menambah bahawa UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini di dalam tahap awal merencana persiapan musim keempat yang lebih menarik bagi Toyota Gazoo Racing Festival dan juga Toyota Vios Challenge.
“Musim Ke-empat akan menjadi suatu pengalaman yang sama sekali berbeza, tidak hanya menawarkan format perlumbaan yang diperkemas kepada semua pelumba, pasukan dan pengedar yang turut serta, tetapi juga melibatkan struktur hadiah dan ganjaran yang lebih menarik. Buat masa ini, kami belum ingin mendedahkan perincian lanjut yang berkaitan. Tetapi adalah memadai untuk menyatakan bahawa semangat Toyota Gazoo Racing akan melangkaui Toyota Vios Challenge sedia ada dalam menyediakan program perlumbaan tambahan untuk disertai kepada semua pelumba. Elemen lain yang turut dipertimbangkan ialah pembangunan bakat serta perluasan skop TGR e-Racing,” tambah beliau.

Bagi juara kategori Super Sporting, Tengku Djan, kemenangan keseluruhan kali ini menjadi kejuaraan keduanya setelah muncul juara pada musim pertama dahulu, sebelum berehat dan memikul tanggungjawab sebagai pengurus pasukan pada musim kedua.
Memandu untuk pasukan 23 Motors, Tengku Djan menamatkan musim ketiga dengan perbezaan 11 mata berbanding pelumba di kedudukan kedua, Mark Darwin dari Laser Motor Racing, sementara pelumba pasukan Telagamas, Freddie Ang dengan perbezaan 14 mata lagi menduduki tempat ketiga.
“Musim ketiga tidak kurang mendebarkan sejak mula hingga akhir. Bersaing di dalam siri perlumbaan model tunggal seperti ini segalanya bergantung kepada kemahiran pemanduan semata-mata untuk memisahkan anda dari pelumba-pelumba lain yang juga sangat berpengalaman dan cekap. Saya cukup bernasib baik untuk dapat menghabiskan pusingan perlumbaan dan mengutip mata dengan konsisten,” jelas Tengku Djan yang menghabiskan enam perlumbaan musim ini dengan dua kemenangan, dua kali sebagai naib juara, satu kali di kedudukan ke-empat serta satu kali tidak menamatkan perlumbaan.
“Toyota Vios Challenge sentiasa menjadi sebuah siri perlumbaan yang sangat memuaskan bagi pemandu, dan dalam masa yang sama menjadi medan untuk membuktikan kemampuan kerana anda tidak hanya memandu di dalam litar jalanan yang memerlukan ketepatan, tetapi semua orang perlu bersaing pada tahap yang sama kerana menggunakan jentera yang identikal. Ia membantu membina perwatakan, keyakinan, mempercepat lekuk pembelajaran pemanduan serta mengajar pemandu agar menjadi lebih teknikal dan taktikal dengan melakukan perubahan talaan jentera dengan harapan untuk mendapatkan sedikit kelebihan,” tambah beliau.

Hayden Haikal, seorang pemandu muda berusia 16 tahun adalah contoh terbaik. Beliau menjadi pelumba termuda yang pernah memenangi perlumbaan di dalam Toyota Vios Challenge dan muncul juara bagi kategori Sporting bagi musim ketiga. Hayden menyertai perlumbaan ini sejak musim kedua dan berusia 15 tahun ketika itu, menjadi pemandu baru termuda yang pernah menyertai perlumbaan sebaik beralih daripada perlumbaan gokart kepada jentera lumba saloon. Beliau tidak hanya dipaksa untuk belajar selok-belok perlumbaan litar dengan cepat (perlu membiasakan diri untuk menukar gear secara manual dan cara pengendalian sebuah jentera saloon), Hayden dengan cemerlang berjaya memperbaiki kemahiran di dalam setiap perlumbaan.
“Beralih dari lumba gokart tidaklah terlalu mudah seperti yang saya sangka memandangkan saya menghabiskan tahun pertama di dalam Toyota Vios Challenge mencuba untuk mempelajari dinamik jentara saloon yang digunakan, menajamkan semula teknik seperti membrek, mengambil selekoh dan memotong, dan sedaya upaya mengelak tembok penghadang. Jika itu belum cukup sukar, untuk bersaing di dalam perlumbaan satu model seperti ini di dalam litar jalanan turut membantu saya menjadi lebih peka dan teliti, membuat keputusan yang betul dan membina keyakinan serta kekal tenang di dalam litar,” jelas Hayden yang sempat meraih dua kemenangan dalam musim ketiga untuk S&D Motorsport. Ini membolehkannya mengakhiri saingan mengatasi pelumba remaja lain, Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser) yang berada 12 mata di belakang serta di tempat ketiga, Haji Sutan Mustaffa dari SMS Motorsports.
Melihat semula penglibatannya sepanjang dua musim berkenaan, Hayden menambah yang penyertaannya dalam siri ini tepat pada masanya kerana peralihan daripada sukan gokart kepada Toyota Vios Challenge menyediakan persaingan yang sama rata untuk pelumba baru dengan kos yang mampu ditanggung.
“Siri ini membolehkan saya mempertingkatkan kemahiran perlumbaan dan membantu ibu bapa saya dari satu sudut; mereka tidak perlu terlalu risau tentang kos yang perlu dibelanjakan terhadap kenderaan yang digunakan dalam perlumbaan ini,” ujar Hayden.
Sementara itu, seorang lagi pelumba yang diangkat sebagai pemenang kejuaraan keseluruhan bagi kali kedua di dalam kategori Promotional ialah Shawn Lee, yang menunjukkan kematangan dan ketenangan ketika di dalam litar di sepanjang musim ketiga berlangsung. Shawn pernah muncul juara pada musim pertama dahulu dan dinaik taraf ke kategori Sporting pada musim berikutnya.
Kembali bersaing di dalam kategori Promotional untuk musim ketiga, dia meraih tiga kemenangan dan dengan jelas menjadi seorang pemandu yang sangat dominan ketika di dalam litar. Menduduki tempat kedua ialah Shukri Yahaya dengan perbezaan 15 mata, sementara tempat ketiga menjadi milik Nabil Ahmad.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemandu di dalam kategori Promotional diatas saingan sengit yang diberikan sepanjang musim ini. Mereka sentiasa menampilkan perlumbaan yang mencabar, dengan sebahagian daripada rakan-rakan selebriti yang sudah berlumba untuk kali kedua atau ketiga perlumbaan ini menjadikan tahap persaingan yang ditonjolkan sangat tinggi,” ujar Shawn.
“Tidak seperti berlumba di musim pertama, saya kini lebih sabar dan strategik dan memilih dengan teliti apa saja tindakan yang perlu diambil berbanding sekadar berlumba secara semberono. Ini sangat membantu untuk mengelakkan saya daripada melakukan kesilapan yang menelan kos dan memberikan kesan lain terhadap peluang saya dalam perlumbaan. Pengalaman beraksi di dalam kategori Sporting juga sangat banyak manfaatnya untuk saya,” tambahnya.
Sebagai rangkuman musim ketiga, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge telah berkembang menjadi lebih kukuh untuk memenuhi tiga matlamat utama syarikat; untuk membawa sukan permotoran dan semangat perlumbaan Toyota kepada umum; untuk meningkatkan tahap sukan permotoran Malaysia dengan memperkenalkan konsep perlumbaan litar jalanan; dan berjaya mempamerkan prestasi, ketahanan dan kemampuan kenderaannya untuk sentiasa memberikan yang terbaik di dalam keadaan ekstrem.
“Ia menjadi satu tugasan yang besar, tetapi membuahkan hasil di atas setiap usaha yang telah ditunjukkan serta berjaya menetapkan langkah seterusnya yang ingin kami ambil untuk hari mendatang. Saya ingin memberikan penghargaan tertinggi kami kepada semua pasukan, pemandu, pengedar, peminat, pengunjung dan petugas yang mana peranan mereka sangat penting dalam menjayakan siri perlumbaan ini,” ujar beliau.
“Keputusan kami untuk menganjurkan acara sukan permotoran adalah bertujuan untuk menyuntik lebih banyak keseronokan terhadap dunia perlumbaan di Malaysia dan sepanjang tiga musim yang telah berlangsung ini, kami tidak hanya berjaya menganjurkan perlumbaan model tunggal yang menawarkan saingan adil kepada semua, tetapi juga dengan kos yang mampu ditanggung serta memudahkan lagi capaian umum terhadap sukan permotoran. Selain itu, program pembangunan bakat muda juga adalah satu aspek yang sangat membanggakan,” tambah beliau.
KATEGORI SUPER SPORTING
Kedudukan | Nama | Pasukan | Mata |
1 | Tengku Djan Ley | 23 Motors | 90 |
2 | Mark Darwin | Laser Motor Racing | 79 |
3 | Freddie Ang | Telagamas Toyota | 65 |
KATEGORI SPORTING
Kedudukan | Nama | Pasukan | Mata |
1 | Hayden Haikal | S&D Motorsports | 70 |
2 | Bradley Benedict Anthony | Dream Chaser | 58 |
3 | Haji Sutan Mustaffa | SMS Motorsports | 57 |
KATEGORI PROMOTIONAL
Kedudukan | Nama | Mata |
1 | Shawn Lee | 93 |
2 | Shukri Yahaya | 78 |
3 | Nabil Ahmad | 70 |
Oleh: ZAIM ZAINAL