Menu
Ekzos.my
  • Home
  • Auto My
  • Auto Global
  • Modifikasi
  • Pandu Uji
  • Santai
  • Hubungi
Ekzos.my

Hadiah Tunai RM70,000 Dan Peluang Mewakili MALAYSIA Menanti Pemenang Di Kejuaraan TOYOTA GR VELOCITY E-Sport Musim Ketiga

Posted on August 13, 2020August 13, 2020 by Ekzosmy

Perlumbaan maya anjuran Toyota akan bermula lagi September ini dengan beberapa siri pusingan kelayakan, separuh akhir serta perlumbaan kemuncak dengan format empat-saingan. Empat pusingan kelayakan dalam talian yang terhad kepada 180 peserta setiap pusingan, akan berlangsung sepanjang dua hujung minggu berturut-turut, iaitu pada 3-4 September dan 12-13 September, dijangka melibatkan seramai 720 pelumba. Pusingan kelayakan akan menggunakan litar Fuji Speedway di Jepun dengan jentera lumba GR Supra RZ.

20 pemandu terpantas kemudiannya akan layak ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan pada 26 September di ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam. Pusingan separuh akhir itu bakal menyaksikan dua perlumbaan berasingan bakal berlangsung dengan meminjam lokasi maya di Jepun. Pertama, perlumbaan dengan 22 pusingan di Kyoto Driving Park menggunakan jentera lumba prototaip TS050 Hybrid, dan kedua menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 di litar Suzuka sepanjang 5.8 km dengan saingan 18 pusingan. 10 pemandu terpantas kemudiannya akan menempah tempat ke pusingan akhir pada 27 September di lokasi sama, di mana saingan untuk muncul juara dan memenangi hadiah utama bernilai RM20,000 akan ditentukan daripada empat perlumbaan sengit melalui himpunan mata di setiap pusingan. Perlumbaan pertama akan menyaksikan pelumba memandu GR Supra RZ di liter Autodrome Lago Maggiore di Itali (15 pusingan); perlumbaan kedua di Autopolis Racing Course Jepun dengan jentera FT-1 Vision Gran Turismo (18 pusingan); perlumbaan ketiga dengan jentera TS050 Hybrid di Circuit de la Sarthe di Perancis (10 pusingan); sementara perlumbaan keempat dan terakhir di litar Spa-Francorchamps Belgium menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 dikuasakan oleh Toyota (18 pusingan).

Disifatkan sebagai satu daripada siri perlumbaan dalam talian tempatan yang menawarkan habuan lumayan, Kejuaran Toyota GR Velocity Esports menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, RM10,000, RM7,000, RM5,500 dan RM4,500 bagi lima pelumba terbaik. Tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali diadakan, Piala Asia GR Supra GT 2020 yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) pada Oktober 2020. Acara berkenaan bakal menyaksikan pelumba dari Malaysia bersaing dengan pelumba terbaik dari Thailand, Singapura, Filipina dan India. Sementara itu, hadiah tunai bernilai RM4,000, RM3,500, RM3,000, RM2,500 dan RM2,000 turut menanti pemenang di tempat ke-6, 7, 8, 9 dan 10 untuk Kejuaran Toyota GR Velocity Esport. Hadiah RM500 juga akan diberikan kepada peserta yang menduduki tangga ke-11 hingga 20. Dengan RM70,000 tersedia untuk dimenangi, semua pelumba akan berpeluang untuk menerima wang tunai tambahan bernilai dari RM450, RM200 dan RM100 yang akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap empat pusingan akhir nanti.

Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports Musim Ketiga ini turut akan menampilkan perlumbaan pertunjukkan 10 pusingan melibatkan pelumba dan selebriti yang bersaing di dalam Toyota Vios Challenge dan Toyota Gazoo Racing Festival. Pelumba TGR akan berentap di dalam perlumbaan 10 pusingan menggunakan Toyota GR Supra Racing Concept di litar Fuji International Speedway sepanjang 4.5 km, sementara barisan selebriti pula akan menggunakan jentera TS050 Hybrid di dalam perlumbaan 17 pusingan di Tokyo Expressway. “Perlumbaan perlu diteruskan, walaupun dalam keadaan norma baru pascapandemik, walaupun perlumbaan sebenar yang melibatkan Toyota dijangka tidak akan kembali sehinggalah suku pertama tahun 2021. Tempoh lima bulan sebelum ini memberi ruang kepada UMWT untuk merencana aktiviti perlumbaan maya kami dan membawakan semangat lumba Gazoo serta sukan perlumbaan kepada orang ramai,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing, Akio Takeyama. Takeyama yang juga merupakan Timbalan Pengerusi UMWT berkata, syarikat itu memulakan kempen perlumbaan maya dengan menganjurkan Toyota Gazoo Racing Online Challenge yang menampilkan lima pusingan berasingan sejak April. Acara itu telah berjaya menarik minat pemain muda termasuk yang berusia dari enam tahun untuk ikut serta, menggunakan platform popular Sony PlayStation Gran Turismo Sport dalam pencarian “pelumba” terpantas dalam lima perlumbaan maya di litar-litar utama seluruh dunia.

UMWT menjadi yang pertama dan kekal sebagai satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang dikaitkan dengan pertumbuhan pesat aktiviti-aktiviti sukan permotoran maya, dan Takeyama menjelaskan syarikat juga berbesar hati kerana dapat memberi sumbangan positif terhadap penerimaan dan perkembangan perlumbaan dalam talian di Malaysia. Pertama kali dianjurkan pada 2018, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, jumlah peserta yang bersaing di dalam Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports telah mencecah angka 657 pelumba pada 2019 berbanding 400 pada tahun sebelumnya, sementara 720 peserta dijangka akan bersaing bagi tahun 2020. Tambah beliau, acara berkenaan juga telah berjaya meningkatkan jumlah khalayak penonton dalam talian, bermula sekitar 10,000 pada 2018 menjadi 110,000 pada 2019. Sejumlah 300,000 penonton dijangka akan mengikuti perlumbaan tahun ini secara langsung. “Perlumbaan dalam talian, terutamanya dengan minat yang semakin bercambah terhadap perlumbaan simulator, telah berkembang dengan sangat pesat, lebih-lebih lagi dalam tempoh lima bulan terakhir ini, dan berhasil menarik minat bukan hanya pemain dalam talian, tetapi juga pelumba sebenar,” jelas Ravindran. “Usaha ini menunjukkan kesungguhan Toyota untuk membawakan sukan permotoran kepada khalayak umum, mempromosi falsafah Gazoo Racing yang merangkumi prestasi dan kecemerlangan, serta memperkenalkan kepada pasaran barisan model terkini dengan logo dan inspirasi perlumbaan di bawah lencana GR.” Untuk maklumat lanjut tentang Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports dan untuk mendaftarkan penyertaan, sila layari www.toyota.com.my.

ekzos.my

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

https://www.youtube.com/watch?v=M69mWvT4YPc&t=9s
378202
Views Today : 1448
Total views : 1353003
©2021 Ekzos.my | Powered by WordPress & Superb Themes