BMW Group Malaysia dan Tian Siang Premium Auto Memperkenalkan Tiga Stesen i Charging BMW di WEIL Hotel, Ipoh.
Tiga stesen i Charging BMW terbaharu di WEIL Hotel Ipoh tersebut merupakan yang pertama di negeri Perak Darul Ridzuan sekaligus memberi gambaran jelas terhadap komitmen pengeluar kenderaan premium ini dalam memastikan kecemerlangan mobiliti masa hadapan Malaysia.
Ipoh, 29 Mac 2018 – BMW Group Malaysia dan Tian Siang Premium Auto telah merasmikan tiga stesen i Charging BMW terbaharu Di WEIL Hotel, Ipoh hari ini.
En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berucap di majlis perasmian, “Pemasangan tiga stesen i Charging BMW yang pertama di negeri Perak ini menguar-uarkan lagi komitmen kami untuk berterusan dalam memacu mobiliti masa hadapan negara ini. Berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan tahun lalu dengan jumlah penjualan tertinggi untuk kenderaan-kenderaan BMW iPerformance, juga Malaysia – selaku pasaran kelima terbesar untuk BMW Hybrid dan kenderaan berteknologi eDrive, kami berbangga untuk menerajui elektro-mobiliti dan mobiliti masa hadapan negara ini. Jelas sekali, capaian akses kemudahan stesen pengecas perlu sentiasa dititikberatkan dan diperluaskan buat pelanggan-pelanggan kami terutamanya melalui rangkaian pengedar yang sah.”
Ketua Pengedar Tian Siang Premium Auto, Encik Tan Ka Kin mengulas lebih lanjut mengenai kejayaan tahun 2017 buat pengedar premium ini; “Di Perak sahaja kami berjaya menjual lebih daripada 400 unit kenderaan BMW tahun lalu. Lebih daripada 45% daripada unit tersebut terdiri daripada unit BMW iPerformance dan kami yakin jumlah ini akan terus meningkat. Pembangunan infrastruktur pengecas ini merupakan langkah kami menuju ke hadapan bersama-sama rakan kongsi premium di negeri ini.”
Ketika pelancaran berlangsung, Pengarah Eksekutif WEIL Hotel Ipoh berucap, “Seiring dengan kepercayaan yang dipegang oleh Tian Siang Premium Auto, kami di WEIL juga berdedikasi untuk memuaskan pelanggan-pelanggan kami dengan layanan terunggul. Lokasi kami yang strategik merupakan medan pertemuan pelancong-pelancong yang datang dari luar dan dalam negara yang terdiri daripada pelancong-pelancong perniagaan dan juga pelancong yang berkeluarga, jadi kami percaya dengan nilai tambahan yang dibawa stesen i Charging BMW ini dalam memberikan pengalaman yang terbaik kepada semua tetamu kami.”
Pemasangan ketiga-tiga stesen pengecas ini merupakan kesinambungan pembangunan infrastruktur yang sama di Holiday Inn Melaka dan di The Equatorial Melaka oleh Seong Hoe Premium Motors, dan juga di CityONE Megamall Kuching oleh Regas Premium Auto Sarawak.
Portfolio mobiliti berwawasan BMW Group Malaysia dengan rangkaian kenderaan BMW iPerformance juga dibantu oleh ChargEV melalui usahasama dengan Malaysian Green Technology Corporation. Sebahagian daripada program BMW 360° ELECTRIC termasuklah servis BMW ChargeNow yang memberikan akses terus kepada rakan stesen pengecas seperti ChargEV di mana pelanggan-pelanggan dapat menikmati bantuan dan akses 24 jam di setiap lokasi pengecas di bawah rangkaian ChargEV yang kini meliputi 270 kemudahan tersebut di seluruh negara.