Oleh FITRY MOHD
Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia ( VPCM ) untuk memandu uji sebuah model SUV iaitu Tiguan varian Highline. Apa yang penulis faham, model Tiguan ini mengambil nama hasil dari gabungan 2 ekor haiwan iaitu Harimau (Tiger) dan Iguana (Leguan). Menggunakan casis di dalam kelas kompak crossover, Tiguan merupakan model yang kini mendapat sambutan positif daripada orang ramai. Jom ikuti pengalaman penulis memandu uji Tiguan !
Baik, Tiguan yang penulis pandu uji ini merupakan varian tertinggi dalam kelasnya. Rekaan luaran Tiguan kini lebih memperlihatkan konsep reka bentuk yang mengadunkan elemen moden dan verstail. Boleh digunakan untuk aktiviti santai hujung minggu bersama keluarga mahupun ke pejabat pada setiap hari.
Bermula pada bahagian enjin Tiguan yang penulis pandu uji ini, ianya didatangkan dengan enjin 1.4 liter TSI dan sistem transmisi automatik enam kelajuan Direct Shift Gearbox ( DSG ). Kuasa yang dihasilkan enjin ini mampu menghasilkan 110 kuasa kuda dan 250 NM tork. Bagi penulis ianya sudah cukup untuk memacu sebuah SUV dengan keadaan yang selesa walaupun mempunyai kapasiti enjin hanya 1.4 liter. Penggunaan bahan api boleh dikatakan jimat bagi penulis dengan purata penggunaan 6.7 liter bagi 100 kilometer (KM). Namun ianya tetap subjektif.
Pada sisi luaran, Tiguan ini tampak gah dengan padanan rim aloi ‘Kingston’ bersaiz 18 inci. Ianya juga dilengkapkan dengan kamera pandang belakang serta lampu utama hadapan dengan fungsi ‘leaving home’. Selain itu aksesori-aksesori lain seperti grill krom, lampu belok serta lampu siang menambahkan lagi gaya moden yang dapat dilihat pada model Tiguan ini.
Tinjauan sudut dalaman Tiguan ini pula, apa yang penulis perhatikan, ruangan papan pemuka dan kemasan pintu dipadankan dengan konsep ‘dark grid’. Ianya juga turut menyediakan kerusi pemandu boleh laras ketinggian yang mampu menawarkan keselesaan untuk pemanduan jarak jauh dengan 12 jenis kelarasan. Selain itu, tempat duduk kemasan kulit ‘Vienna’ turut menghiasi ruangan dalaman Tiguan dan 12v kuasa soket bagi kompatmen depan dan belakang turut disediakan. 615 Liter ruang juga turut disediakan untuk bonet. Sungguh selesa !
Untuk sistem keselamatan pula, model ini mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk beg udara, sistem kestabilan kawalan elektronik, sistem brek antikunci, sistem bantuan brek, sensor hujan dan sistem ISOFIX cangkuk kerusi kanak-kanak. Ianya juga mempunyai ciri keselamatan lain seperti sensor pengesan pejalan kaki. Ternyata varian ini telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang mengikut piawaian semasa.
Harga atas jalan yang ditawarkan untuk model Tiguan Highline ini ialah RM169,578.00 sahaja yang mana bagi penulis ianya sangat berpatutan untuk model SUV seperti ini. Besar, berkuasa dan selesa.
Akhir sekali, jika anda memilih untuk memiliki sebuah SUV dengan harga yang sangat berpatutan, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk pergi ke bilik pameran Volkswagen dan menempah model Tiguan anda sendiri.
Ekzos.my