Oleh FITRY MOHD
Perodua Myvi ! Siapa yang tidak kenal dengan jenama kereta paling laris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut mulai tahun 2006 sehingga 2010. Bukan sahaja kenderaan praktikal dan jimat minyak, malah ianya juga merupakan sebuah kenderaan kompak yang selesa serta bergaya. Myvi mula diperkenalkan oleh Perusahaan Automotif Kedua Nasional ( PERODUA ) pada tahun 2005 dan kini pada akhir tahun 2017, sekali lagi PERODUA mencipta sejarah dengan melancar PERODUA MYVI generasi baru.
Baru-baru ini penulis diberi peluang untuk memandu uji Myvi 1.3 serba baru ini. Pertama kali memandang Myvi baharu ini, penulis bagaikan terpana dengan hasil rekabentuk Myvi baharu ni sangat memikat dan berbeza dari reka bentuk Myvi sebelum ini, potongan badan sedikit lebih lebar dan sedikit lebih panjang dari model Myvi sebelum ini.
Jika kita lihat pada rekaan bahagian bumper hadapan kali ini rekaannya lebih sporty dan mengikut trend semasa. Tinjauan dibahagian belakang pula memberikan rupa yang lebih kemas dengan bentuk lampu belakang yang serba baharu serta kedudukannya yang sedikit melintang menaikkan lagi imejnya tersendiri.
Bagi model Myvi 1.3X ini, ianya didatangkan dengan roda bersaiz 14 beserta rimsukan. Selain itu penggunaan lampu jenis L.E.D turut diguna pakai pada lampu utama Myvi baru ini. Ini membuatkan Myvi baharu ini lebih canggih dan lebih moden mengikuti peredaran zaman yang serba canggih ini. Myvi baru ini juga turut mempunyai ESC( Electronic Stability Control), ABS(Anti Brake System) dan terdapat enam beg udara ( Airbag ).
Tinjauan sudut dalaman MYVI 1.3X ini pula nyata lebih memukau. Naiktaraf pada papan informasi pemukanya lebih bersifat canggih dan moden serta terdapat kawalan suhu digital untuk semua model Myvi baru ini. Tempat duduk model 1.3X ini mempunyai ciri-ciri isofix dan antara penambahan aksesori yang menarik perhatian penulis ialah soket “USB charging” di bahagian sisi kerusi pemandu untuk kegunaan penumpang dibelakang. Tidak perlu berebut lagi dengan penumpang dihadapan.
Bercakap tentang enjin pula, model Perodua Myvi baru kini menerima nadi enjin yang lebih baru dan berteknologi tinggi serta dapat menghasilkan penjimatan petrol yang lebih daripada model Myvi sebelum ini. Penggunaan nadi enjin Myvi 1.3L kini dilengkapi enjin 1NR-VE yang menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada 4,000 rpm. Gabungan kombinisasi enjin dan transmisi ini mampu menghasilkan penjimatan petrol sehingga 21.1km/liter dengan fungsi “Echo idle” serta “start stop” yang diaktifkan.
Dari segi pemanduan pula, penulis sendiri merasakan pengalaman pemanduan yang jauh lebih mantap. Dengan bantuan ciri-ciri pintar yang ditampilkan pada model Myvi 1.3X ini nyata melancarkan pemanduan harian. Dengan model terbaru ini juga, tahap ketinggian myvi juga turut direndahkan sedikit membuatkan pemanduan Myvi baru ini lebih mantap, selamat dan menyakinkan pemandu untuk mengawal kenderaan.
Perodua Myvi 1.3X ini berharga RM 48,300 tidak termasuk insuran. Untuk merasai sendiri pengalaman memandu Myvi 1.3X baharu ini, anda boleh terus ke bilik pameran Perodua di kawasan berhampiran.
-Ekzos.my-