Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM), satu cabang pembuatan Go Auto Group of Companies dan SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak.
MoU ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal
bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.
Majlis menandatangani turut disaksikan oleh Wan Ahmad Wan Omar, Pengarah Eksekutif Go Auto
Group dan Ir. Dr. Mohamad Jamil Bin Sulaiman, Naib Presiden Penyelidikan Perindustrian SIRIM dari
SIRIM Berhad.
Kerjasama strategik ini merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk,
teknologi, tenaga manusia dan pasaran atau industri. Melalui usahasama ini, ia membolehkan GAM
memperoleh akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM. Manakala kedua-dua pihak akan bekerjasama
dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau
produk di bawah perkongsian ini.
“Go Auto amat teruja dengan kerjasama bersama SIRIM ini, suatu badan yang berpengalaman dan
berkepakaran lebih 40 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi negara. Kelebihan mereka
dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, selain memastikan standard dan kualiti industri menjadikan
mereka rakan kongsi yang baik untuk syarikat kami. Kami mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia dapat
memberi kita peluang menggunakan kepakaran masing-masing yang mampu memberikan impak
maksimum kepada kedua belah pihak,” kata Datuk Azli.
“Pengilangan kami dapat memenuhi keperluan pengawalseliaan dan pasaran dan secara tidak langsung
membolehkan kami mengurangkan pengeluaran dan kos R & D. Kerjasama ini juga sejajar dengan Dasar
Automotif Kebangsaan (NAP) iaitu untuk menghasilkan produk yang memenuhi piawaian dan keperluan
antarabangsa. SIRIM mempunyai rekod prestasi yang membolehkan produk dan perkhidmatan Malaysia
mencapai pengiktirafan di seluruh dunia dari segi kualiti dan inovasi,” katanya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata, SIRIM berada pada
kedudukan yang baik untuk menerajui industri Malaysia ke Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
“SIRIM menyambut baik perkongsian bersama Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd untuk terus
membantu menghubungkan teknologi kenderaan dan mengubah pengalaman pemanduan di Malaysia,”
katanya.
Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri
cas semula berasaskan lithium ion untuk menggantikan bateri asid plumbum di pasaran automotif;
pembangunan teknologi kenderaan hijau termasuk bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan
bateri sodium ion sebagai alternatif kepada bateri lithium ion. Bidang usahasama lain termasuk Prototaip
Pantas (Rapid Prototyping) dan percetakan 3D untuk pelajar TVET MARA, dan kemudahan Pengesahan
Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval Testing) untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),”
katanya.
“Kerjasama ini tepat pada masanya sebagai inisiatif menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam
mengubah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0. Kami berazam untuk
memanfaatkan Porgram Pembangunan PKS SIRIM dan Industri 4.0 dalam bidang Additive Manufacturing,
Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan peranti Internet of Things (IOT),” kata Prof Ir Dr Ahmad
Fadzil.
Rasionalisasi kolaborasi ini dijangka selesai dalam tempoh dua tahun selepas pemeteraian MoU.