Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
PENGELUAR kenderaan Perancis, PSA Group berjaya menjual 1.9 juta unit secara kumulatif di peringkat global sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Urusan PSA Group, Carlos Tavares berkata, meskipun terdapat penurunan pasaran automotif untuk separuh tahun pertama, pasukan komersil pihaknya berjaya meningkatkan pasaran saham di beberapa negara khususnya di benua Eropah dan Afrika.
“Gabungan strategi Core Model dan Core Techno merupakan aset utama dalam menentukan jualan yang menguntungkan dan meningkatkan kepuasan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan kepada EkzosMY.
Bagi pasaran Eropah, jenama Citroen terus unggul apabila menjadi antara 12 jenama pilihan ramai bagi tempoh lapan tahun berturut-turut menerusi model kenderaan utiliti sukan (SUV) seperti C5 Aircross dan C3 Aircross terutamanya di Itali, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Sepanyol.
Prestasi jenama Peugeot juga dilihat tidak kurang hebatnya di Eropah apabila model sedan terbaharu, 508 SW berjaya meneruskan legasi kecemerlangan model SUV iaitu 3008 dan 5008.

Pada masa sama, PSA Group juga menjangkakan perkembangan positif di benua Afrika sebaik kilang pemasangan di Kenitra, Maghribi beroperasi sepenuhnya selepas ini.
Dalam perkembangan berkaitan, buat julung-julung kalinya kedua-dua model Peugeot 3008 dan 5008 bakal dieksport ke Filipina menerusi hab Malaysia, Naza Automotive Manufacturing (NAM).
Ini merupakan kali pertama kenderaan pembuatan NAM dieksport ke Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA), sekali gus dijangka memberikan sumbangan besar terhadap prestasi jualan PSA Group di rantau Asia Tenggara. – EkzosMY