Menu
Ekzos.my
  • Home
  • Auto My
  • Auto Global
  • Modifikasi
  • Pandu Uji
  • Santai
  • Hubungi
Ekzos.my

BMW Malaysia Memperkenalkan BMW X6 xDrive40i M Sport yang Terbaharu

Posted on April 25, 2020April 27, 2020 by Ekzosmy

BMW Malaysia telah merungkaikan BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu yang diperkenalkan secara virtual buat pertama kali di Malaysia menerusi https://shop.bmw.com.my.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia mengulas, “Ketika kami memperkenalkan BMW X6 yang sulung pada tahun 2008, jentera premium ini telah memberi nafas kepada penubuhan segmen Sports Activity Coupé di seluruh dunia yang turut berjaya mencatat penyerahan berjumlah lebih daripada 443,000 unit. Hari ini, dengan perasaan sukacita, kami mempersembahkan generasi ketiga BMW X6 yang ikonik di Malaysia tatkala kita meraikan jiwa perintis dan rekaan luar biasanya yang mencuri perhatian di atas jalan raya sejak lebih dari sedekad yang lalu. Hari ini juga, BMW X6 xDrive40i M Sport akan menerajui keterujaan lasak ke aras kecemerlangan yang baharu, ia bakal mencabar status quo di setiap jenis permukaan jalan.”

“Meskipun dunia sedang berhenti seketika untuk mengharungi situasi terkini, kami akan melangsungkan komitmen ke atas pelaburan kami serta para pelanggan di Malaysia, dan melihat industri automotif tempatan secara optimistik dalam tempoh yang akan datang,” tambah Hoelzl.

Jentera perintis SAC generasi ketiga, BMW X6 xDrive40i M Sport hadir dengan personaliti yang berani dan gah, ia diserlahkan melalui bahasa reka bentuk yang terperinci, berserta teknologi enjin dan casis tercanggih yang membekalkan pengalaman pemanduan sporty lagi menyelesakan. Perkembangan teknologi yang konsisten juga dicerminkan melalui elemen-elemen komprehensif seperti maklumat hibur dan sistem bantuan pemanduan yang inovatif, kesemuanya dimuatkan dalam sebuah ambien mewah, disumbang oleh kelengkapan bertaraf premium yang penuh sofistikasi. Keupayaan serba boleh jentera ini dalam pelbagai aspek memahat tanda aras baharu dalam segmennya.

BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu: kewibawaan tersendiri dan ciri-ciri kelasakan yang inovatif.

Bahasa reka bentuk yang provokatif dan ekspresif pada jentera ini membuahkan aura yang bersifat dominan di atas jalan raya. Dilengkapi dengan pakej M Sport, SAC baharu ini cemerlang di atas semua jenis permukaan jalan yang disusurinya.

Berbanding model terdahulu, BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu kini lebih panjang (+26mm), lebih lebar (+15mm), serta jarak rodanya yang turut dipertingkatkan (+42mm). Ketinggian jentera ini juga lebih singkat (-6mm), lantas mewujudkan tubuh yang lebih dinamik dan memanjang, dipadankan dengan personaliti yang gah. Komponen utama pada reka bentuk seksyen hadapan ialah gril ‘kidney’ besar yang didatangkan dengan pencahayaan ‘Iconic Glow’, gril dengan bahagian berkembar ini seperti biasa, dibingkaikan dengan rapi. Set lampu laser BMW yang langsing dengan fungsi bantuan lampu puncak serta lampu kabus LED menonjolkan lagi kelebaran jentera ini dan auranya di atas jalan raya, selain arkus rodanya yang dapat dilihat berbentuk sedikit seperti heksagon.

SAC baharu ini juga hadir dengan BMW Individual Exterieur Line yang menggunakan material Aluminium satin, termasuk komponen rel bumbung. Di seksyen belakang, lampu belakang LED tiga dimensi hadir dalam bentuk L seperti yang lazimnya dilihat, berserta liang udara (Air Breather) di belakang untuk memberi penekanan kepada penampilan ekstrovert kenderaan ini. Operasi pintu but automatik juga hadir sebagai standard. Antara komponen M Sport yang utama meliputi sistem ekzos M Sport, brek M Sport, Adaptive M Suspension dan roda aloi ringan ‘M’ 21” dalam penggayaan ruji ‘Y’ 741 M Bicolour dengan tayar bercampur dan pneumatik (runflat).

Kuasa BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu yang luar biasa dijana melalui enjin petrol sebaris enam silinder berkapasiti tiga liter yang mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j. Output maksimumnya bersamaan dengan 250 kw / 340 kk pada paras 5,500-6,500 rpm, dan berbekalkan puncak tork berjumlah 450 Nm pada paras 1,500-5,200 rpm. SAC ini juga mampu membuat pecutan abad hanya dalam masa 5.5 saat, dan menggunakan bahan api gabungan berjumlah 9.0 l/100km dan output karbon gabungan berjumlah 206 g/km.

Enjinnya turut memanfaatkan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, dengan sumber kuasa yang disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem BMW xDrive. Dinamik pemanduan BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu ditawarkan menerusi suspensi dwiselangka di hadapan, suspensi sambungan berlima di belakang dan Kawalan Peredam Dinamik (Dynamic Damper Control) sebagai standard. Ini bermakna jentera baharu ini memiliki kombinasi yang ideal untuk membekalkan dinamik dan keselesaan, serta cengkaman yang terbaik di luar jalan (off-road). Sistem Kawalan Pengalaman Pemanduan (Driving Experience Control) membolehkan pemandu memilih mod yang lebih memfokuskan kelasakan atau keselesaan.

Interior SAC terbaharu ini dirumus untuk membuahkan pengalaman pemanduan yang eksklusif dan serba dinamik. Rekaan kokpit dengan aspek kawalan yang diperbaharui mempersembahkan interpretasi moden yang berasal daripada kokpit BMW klasik yang meletakkan fokus kepada pemandu. Ruang interior terus menunjukkan keunggulan dengan mutu kerja yang tinggi serta ia mengguna pakai material premium seperti upholsteri kulit Vernasca yang ditawarkan sebagai standard. Stereng berkulit ‘M’ turut disediakan, berserta dengan kerusi sport bagi pemandu dan penumpang di tempat duduk hadapan. Penumpang tempat duduk belakang juga dapat menikmati kerusi tunggal teracu yang memberikan sentuhan sporty, termasuk tirai gulung dan penyaman udara automatik dengan fungsi empat zon.

Bumbung kaca panoramik yang terdiri daripada dua bahagian kini 83% lebih besar, lantas mewujudkan ambien yang lebih luas, sementara tempat duduk belakang hadir dengan fungsi pembahagian 40/20/40 – membekalkan kapasiti muatan yang boleh dibesarkan daripada 580 liter kepada 1,530 liter. SAC baharu ini turut dilengkapi dengan sistem bunyi keliling 16 pembesar suara daripada Harman Kardon, aplikasi kaca ‘CraftedClarity’ untuk elemen interior serta kemasan trim interior dalam Aluminium Tetragon, dan antrasit material bumbung daripada BMW Individual. Pencahayaan ambien juga boleh disuaikan mengikut enam pilihan berbeza bagi menetapkan mood yang sesuai ketika memandu.

BMW Live Cockpit Professional disediakan sebagai standard, serta ia hadir dengan papar pandu (Head-Up Display), Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control) dan Pembantu Peribadi Pintar BMW (BMW Intelligent Personal Assistant) yang menaik taraf aspek komunikasi antara pemandu dan kenderaan, selain berfungsi sebagai pembantu peribadi dan pakar kenderaan. BMW Live Cockpit Professional juga menyediakan Paparan Instrumen 12.3 inci, kluster instrumen yang boleh disuai, dan Paparan Kawalan (Control Display) dengan skrin sentuh bersaiz 12.3 inci. Keunggulan sistem maklumat hibur yang terkini turut diserlahkan dengan Sistem Operasi BMW 7.0 (BMW Operating System 7.0). Penumpang di tempat duduk belakang juga dapat menikmati “Rear-seat Entertainment Professional” dengan dua paparan sesentuh bersaiz 10 inci.

Di samping itu, pemilik SAC ini dapat menikmati Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) dan fungsi Pengecasan Tanpa Wayar bersama BMW Connected Package Professional yang hadir dengan Teleservices, Panggilan Kecemasan Pintar dan Apple CarPlay untuk menawarkan kemudahan dan keselesaan yang diperkayakan.

BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu turut didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan seperti Driving Assistant Professional, ia hadir dengan Amaran Rentas Trafik untuk bahagian belakang kenderaan dan Amaran Penukaran Laluan. Bukan itu sahaja, Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Henti & Mula, serta Bantuan Stering dan Kawalan Laluan yang memberikan bantuan mengolah di laluan sempit juga disediakan.

Parking Assistant Plus yang ditawarkan sebagai standard merangkumi Bantuan Parkir serta Bantuan Mengundur yang dapat mengingati jarak pemanduan 50 meter yang terakhir dan mampu mengundurkan kereta berkenaan dalam kaedah separa automatik di laluan yang sama.

BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu ditawarkan menerusi enam warna yang mempesonakan seperti Manhattan, Artic Grey, Riverside Blue, Carbon Black, Mineral White dan Flamenco Red. Ia boleh dipadankan dengan BMW Leather Vernasca dalam warna hitam (untuk semua padanan) atau Tacora Red (tidak disediakan untuk padanan Manhattan dan Riverside Blue).

Para pelanggan kini boleh menempah BMW X6 xDrive40i M Sport yang terbaharu di www.shop.bmw.com.my pada harga RM7,000.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X6 xDrive40i M Sport boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 8,328.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW X6 xDrive40i M Sport terbaharu juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW X6 xDrive40i M Sport yang terbaharu ialah:

BMW X6 xDrive40i M Sport Terbaharu                   RM 729,800.00

ekzos.my

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

https://www.youtube.com/watch?v=M69mWvT4YPc&t=9s
379184
Views Today : 871
Total views : 1357884
©2021 Ekzos.my | Powered by WordPress & Superb Themes