Menu
Ekzos.my
  • Home
  • Auto My
  • Auto Global
  • Modifikasi
  • Pandu Uji
  • Santai
  • Hubungi
Ekzos.my

BMW Malaysia Mempersembahkan BMW X1 sDrive18i Terbaru

Posted on July 24, 2020August 3, 2020 by Ekzosmy

BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW X1 sDrive18i pada hari ini, iaitu ahli terbaru dalam portfolionya yang terdiri daripada kenderaan yang dipasang secara domestik. Varian BMW X1 yang terbaharu ini memperlihatkan komitmen pelaburan BMW Malaysia yang berterusan di dalam negara.

BMW X1 sDrive 18i

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia sementara itu berkata, “Kami berbesar hati untuk mempersembahkan SAV terbaharu yang dipasang di dalam negara ini, yang turut merupakan ahli famili BMW X – iaitu BMW X1 sDrive18i. Varian baharu ini menyertai BMW X1 sDrive20i M Sport yang telah kami rungkaikan pada Januari tahun ini, iaitu jentera yang menjadi pendorong bagi misi pemberian bantuan yang kami usahakan buat golongan yang kurang bernasib baik ketika pandemik COVID-19.”

“Jentera BMW X1 sDrive18i ini menyahut Normal Baharu dengan menyerlahkan jiwa dan keterampilan famili BMW X yang unggul dalam segmen kenderaan kompak premium. Varian baharu ini memperlihatkan kelasakan dan keyakinannya untuk menempuhi segala cabaran – ia membawakan sinergi yang sempurna antara dinamisme, kelincahan, dan versatiliti,” tambah Hoelzl.

BMW X1 sDrive 18i

BMW X1 sDrive18i baharu merupakan sebuah varian klasik yang menampilkan enjin sebaris 3 silinder dengan kapasiti berjumlah 1.5 liter yang berkuasa tinggi lagi efisien, berserta transmisi Steptronic 7 Kelajuan dengan dwi-klac yang mampu menjana 140 kk.  Berbekalkan ruang interior yang terbesar dalam kelasnya, BMW X1 sDrive18i baharu hadir dengan ruang but yang boleh dibesarkan sehingga saiz muatannya mencecah 1,550 liter. SAV baharu ini turut dilengkapi dengan inovasi yang luar biasa seperti sistem iDrive yang sungguh intuitif.

Prestasi yang mengagumkan di atas pelbagai permukaan jalan.

BMW X1 sDrive18i terbaharu didatangkan dengan lampu hadapan LED, termasuk lampu kabus LED di hadapan, rel bumbung aluminium dalam kemasan satin, trim eksterior, dan set roda aloi ringan 17 inci dalam penggayaan ruji V 560 yang memberikan SAV ini penampilan serba atletik.

BMW X1 sDrive 18i

Jantung yang menguasakan jentera ini ialah enjin 3 silinder 1.5 liter BMW TwinPower Turbo, yang memenangi Anugerah International Engine of the Year selama lima tahun berturut-turut sejak 2015. Menerusi output maksimum berjumlah 140 kk dan puncak tork berjumlah 220 Nm, SAV ini mencatat kelajuan tertinggi mencecah 201 km/j. SAV baharu ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 9.6 saat. Di samping itu, model ini juga menggunakan kadar bahan api yang rendah, iaitu 6.3 l/100 km, termasuk emisi karbon bertahap lebih rendah pada paras 144 g/km. Enjin dinamiknya juga disempurnakan oleh transmisi Steptronic 7 Kelajuan dengan dwi-klac.

Di dalam, kokpit BMW X1 sDrive18i mempersembahkan kemasan trim interior dalam warna hitam berglos tinggi, serta kemasan trim dalam warna Pearl Chrome, termasuk upholsteri Leather Dakota untuk memperlihatkan sofistikasinya. SAV baharu ini juga dilengkapi dengan stereng sport berkulit, kerusi hadapan yang boleh dilaras secara elektrik, penyaman udara automatik dua zon dan material bumbung BMW dalam warna kelabu.

BMW X1 sDrive 18i

SAV baharu ini mempunyai ruang interior yang paling besar dalam kelasnya. Kapasiti ruang but dalam BMW X1 sDrive18i boleh ditingkatkan dengan mudah daripada 505 liter kepada 1,550 liter apabila tempat duduk belakang dilipat – lantas menjadikannya SAV dengan ruang keluasan yang terbesar dalam kelasnya. SAV ini bersertakan operasi pintu but automatik dengan fungsi tanpa sentuh untuk membuka dan menutup pintu but berkenaan melalui Comfort Access.

Sistem maklumat hibur yang tercanggih memperlihatkan keupayaan teknologi BMW X1 sDrive18i melalui sistem iDrive yang serba intuitif dalam Paparan Kawalan (Control Display) 8.8 inci, ia boleh dioperasikan menggunakan Pengawal iDrive (iDrive Controller), sama ada melalui fungsi sentuhan, mahupun suara.

Aspek bantuan pemanduan dalam SAV baharu ini hadir dalam bentuk BMW Personal CoPilot, yang turut merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan. Sistem tersebut juga menampilkan fungsi-fungsi yang lain seperti Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Bantuan Lampu Puncak, serta info had kelajuan untuk menjamin keselamatan yang maksimum di jalan raya.

Penawaran warna bagi jentera BMW X1 sDrive18i ini merangkumi Alpine White, Mediterranean Blue, Black Sapphire, dan Mineral Grey. Ia akan dipadankan dengan upholsteri interior Leather Dakota dalam warna hitam yang menawan.

BMW X1 sDrive 18i

BMW X1 sDrive18i terbaharu bakal disediakan di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai 24 Julai 2020. Pelanggan juga boleh menempah SAV baru ini di http://www.shop.bmw.com.my/ pada harga RM1,000 dan berpeluang untuk memenangi BMW i8 Coupé baru.

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW X1 sDrive18i terbaharu ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW
ekzos.my

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

https://www.youtube.com/watch?v=M69mWvT4YPc&t=9s
378162
Views Today : 991
Total views : 1352546
©2021 Ekzos.my | Powered by WordPress & Superb Themes