Oleh: ZAIM ZAINAL
Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) Hari ini mengambil peluang untuk melancarkan dua model baru dan serta sebuah varian baru bagi menyempurnakan keluarga Volkswagen Malaysia. Model yang menjadi tumpuan pada pelancaran ini adalah Volkswagen Atreon yang Disifatkan sebagai satu karya terbaik, Arteon melakukan debut global pada tahun 2017 dan kini dipasang tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

Rekaan fastback lima pintu Arteon ini merupakan model utama Volkswagen yang menawarkan kombinasi terbaik di antara reka bentuk avant-garde dengan pengendalian dinamik. Namanya menjadi refleksi terbaik terhadap penampilannya – ‘Art’ menerangkan tentang garis fastback yang harmoni dan emosional, sementara ‘eon’ pula menyerlahkannya sebagai model premium Volkswagen.

Sebagai sebuah model R-Line, penampilan luaran Arteon yang menarik perhatian itu diserlahkan menerusi kemasan krom hadapan agresif, lencana R-Line, lampu utama LED, lampu belakang dengan indikator dinamik, spoiler belakang berwarna hitam, rim aloi Montevideo bersaiz 19 inci serta kemasan krom pada bahagian bawahnya. Arteon R-Line mempunyai rekaan yang selari dengan fungsi. Ia bukan sekadar tampil menawan, malah menawarkan ruang but seluas 563 liter, terbaik dalam kelasnya yang boleh diakses melalui fungsi but Easy Open. Dynamic Chassis Control (DCC) dengan Driving Mode Selection membolehkan pemandu menukar dan memilih 15 gaya pemanduan yang diingini, sambil terus terhubung dengan Digital Cockpit serta App-Connect Apple Car Play tanpa wayar. Aspek keselesaan dipertingkatkan lagi dengan tempat duduk 14-talaan yang dibalut dengan kulit Nappa gayaan karbon bersama fungsi urutan. Arteon ini juga didatangkan sistem audio premium Dynaudio, terdiri daripada 11 unit pembesar suara dan subwoofer 700-watt serta kamera 360°.

Arteon R-Line didatangkan dengan enjin turbo 2.0TSI dan kotak gear klac berkembar basah direct shift 7-kelajuan (DSG) yang telah ditambah baik. Ia mampu menghasilkan kuasa 190PS dan tork 320Nm untuk pengalaman pemanduan yang benar-benar dinamik. Bagi mereka yang ingin mengubah suai kereta mereka, Arteon R-Line serba baharu hadir dengan Dynamic Chassis Control (DCC). DCC menawarkan 15 ubah suai dan lima mode pemanduan berbeza – Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual. Lima warna ditawarkan: warna metalik ialah kelabu (Manganese Grey), kuning (Turmeric Yellow) dan perak (Pyrite Silver). Manakala warna mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White Pearl).
Arteon R-Line serba baharu ditawarkan pada harga RM 220,043 dan hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. Dengan pengecualian cukai yang ditawarkan sekarang.

Volkswagen turut melancarkan Tiguan Allspace dimana ia merupakan SUV tujuh tempat duduk yang menarik dan dijangka mampu memberikan impak besar dalam segmen SUV tempatan. Bagi model Volkswagen Tiguan Allspace ini ditawarkan dengan dua varian, iaitu Tiguan Allspace 1.4TSI dan juga Tiguan Allspace 2.0TSI. Kedua-dua model ini dipasang secara tempatan di kilang Volkswagen Pekan, Pahang.

Tiguan Allspace dengan tapak roda lebih panjang menjadikannya sebuah SUV yang benar-benar luas. Seterusnya dapat menawarkan versatiliti menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya, ia mampu menawarkan ruang seluas 700 liter. Jika tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat, SUV berkenaan memberikan ruang yang sangat luas iaitu 1,775 liter, terbaik dalam kelasnya. Tiguan Allspace R-Line ialah sebuah SUV berprestasi tinggi. Penampilan agresifnya di atas jalan biasa dan off-road diserlahkan dengan rim aloi Sebring bersaiz 19”. Ia juga menawarkan kuasa dan tork paling tinggi dalam kelasnya. Keupayannya dipertingkatkan lagi dengan sistem pacuan semua roda 4Motion. Bahagian dalaman tidak kurang menariknya dengan ciri ketersambungan terbaik seperti Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro infotainment 9.2”. Varian Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line didatangkan dalam warna biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Tiguan Allspace ini ditawarkan dengan harga RM 208,553 untuk varian R-Line dan untuk bagi varian highline pula ditawarkan pada harga RM 164,430. Kedua-dua varian ini turut mendapat pengecualian cukai hingga 31 Disember 2020. Pemilik akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.
Di pelancaran tersebut juga Volkswagen Passenger Car Malaysia turut mengumumkan pembukaan tempahan untuk model Volkswagen Passat R-Line yang dipasang secara tempatan dan dijangka ditawarkan dengan harga di antara RM 200,000 hingga RM 210,000.

Passat R-Line tampil dengan kemasan yang sporty. Terima kasih kepada bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19”. Untuk ruang dalaman pula, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sports aluminium. Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baharu yang mampu menjana 190PS dan tork 320Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang baru dan telah ditambah baik. Jadi, anda boleh mengharaplan pengalaman pemanduan yang lancar dan mengujakan.
Aspek keselamatan dipertingkatkan lagi melalui ciri Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter. Ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah. Dari segi ketersambungan pemandu, Passat R-Line dilengkapi sistem infohibur Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2”. Ciri-ciri kemudahan termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Passat R-Line didatangkan dalam enam warna. Warna metalik terdiri daripada biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver). Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga.
Tempahan dan urusan melihat secara dekat boleh dilakukan dalam talian atau di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my