
Shell Malaysia Trading Sdn Bhd sedang menambah baik pengalaman beli-belah online untuk pelanggan yang mementingkan ketulenan dan kualiti produk, dengan melancarkan gedung rasmi baharu di Shopee Mall, satu portal aplikasi khas yang menempatkan gedung rasmi oleh pelbagai jenama dan peruncit.
Shell Malaysia percaya bahawa kehadiran digital kukuh dengan pilihan jelas rangkaian minyak pelincir premium tulen dan berkualiti di platform e-dagang No.1 Malaysia, Shopee, boleh membantunya mencapai dan mendekati lebih ramai pelanggan.

Langkah ini membolehkan pelanggan membeli terus daripada Shell selaku pemilik jenama. Ini memberi ketenangan jiwa kepada mereka yang bimbang dengan kewujudan banyak produk tiruan dan tidak sah dijual secara online.
Antara pilihan minyak pelincir premium Shell ditawarkan ialah rangkaian baharu kelikatan rendah 0W iaitu Shell Helix Power, Shell Helix Protect dan Shell Helix ECO. Shell Malaysia ingin menggalakkan lebih ramai pemilik kereta untuk memilih minyak pelincir ini yang menawarkan penggunaan bahan api lebih ekonomi dan emisi karbon rendah demi kelestarian yang lebih baik.

Semua minyak pelincir Shell dijual melalui Gedung Rasmi Shell Lubes di Shopee Mall dijamin 100% tulen dan didatangkan dengan polisi pemulangan percuma selama 15 hari serta penghantaran percuma ke seluruh negara. Sebagai tambahan, dengan adanya ciri Jaminan Shopee, bayaran kepada Shell Malaysia hanya akan dibuat selepas para pembeli yang terima barang mengesahkan ia tulen dan berada dalam keadaan baik.
Gedung online akan menawarkan lebih banyak produk selain minyak pelincir tulen kereta berpenumpang Shell Helix dan minyak enjin motosikal Shell Advance dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’. Tidak lama lagi, gedung ini akan meluaskan tawaran termasuk pelbagai produk runcit seperti barangan Shell serta produk Shell SELECT.

Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Nyon Kam Yew, berkata syarikat berharap kerjasama dengan Shopee akan membolehkan pihaknya meneroka potensi pasaran online dan menghubungkannya dengan rangkaian bengkel luar talian dan stesen peruncitan untuk menawarkan pengalaman premium kepada para pelanggan.
“Situasi semasa kini semakin jelas ke arah penerimaan e-dagang dalam kalangan pengguna Malaysia. Ramai pelanggan setia percaya dengan jenama Shell dan menikmati pengalaman bermakna di stesen peruncitan Shell kami dan bengkel-bengkel terkenal. Kami mahu meneruskan tawaran pengalaman sama melalui Shopee Mall di mana mereka boleh membeli produk Shell secara online dengan lebih mudah dan lebih yakin,” kata beliau.
Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Kami tidak sabar untuk menjayakan satu kerjasama bermakna dengan Shell kerana kami akan menggunakan keunikan jaminan ketulenan 100 peratus Shopee Mall dan polisi pemulangan percuma sebagai ketenangan jiwa kepada pengguna semasa membuat pembelian online. Kami juga akan menyokong pelancaran gedung rasmi Shell dengan sistem integrasi penuh pembayaran dan penyelesaian logistik, medium pemasaran dalam aplikasi, pendedahan melalui kempen seperti Festival Jenama Shopee 10.10 dan banyak lagi untuk menyokong perniagaan dan objektif e-dagang mereka. Dengan semua usaha ini, ramai rakyat Malaysia di seluruh negara akan mendapat akses kepada rangkaian produk premium Shell tanpa perlu berasa bimbang.”
Shell Malaysia secara aktif memantau minyak pelincir dijual secara online. Dengan pemantauan ketat ke atas pelbagai e-pasaran, pihak syarikat berjaya membanteras 179 kedai online dan memadamkan 278 senarai online pada separuh pertama 2020.
Pada 23 Julai 2020, Shell Malaysia bekerjasama rapat dengan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), berjaya menyerbu satu lokasi jualan minyak pelincir tiruan. Bungkusan kurier mengandungi minyak enjin untuk dikirim kepada para pembeli online dari seluruh Malaysia ditemui di premis itu.
Shell Malaysia menasihatkan konsumer melindungi diri semasa pembelian online dengan membeli produk minyak pelincir Shell tulen dari Gedung Rasmi Shell Lubes di Shopee https://shopee.com.my/shelllubesofficial.os beserta label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ dengan kod QR yang boleh disahkan melalui SHARE di laman web www.shell.com.my/share.
Oleh : ZAIM ZAINAL