
Oleh : ZAIM ZAINAL
UMW Toyota Malaysia hari ini mengambil peluang melancarkan kereta kompak berprestasi tinggi yang mempunyai DNA dari perlumbaan rali dunia “WRC” yang telah pun menjadi sebutan kepada semua peminat sukan pemotoran. Dengan harga RM299,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans komprehensif) GR Yaris Performance Pack Edition dengan unit terhad akan dijual di Malaysia dan setiap satunya akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif. GR Yaris ini juga ditawarkan dalam tiga warna istimewa: Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black.

GR Yaris merupakan sebuah kereta World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya dan satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan. Malahan sebelum para pereka menghasilkan lukisan pertama, ia bayangan konsepnya adalah untuk membina sebuah jentera WRC, serba-serbi tentang GR Yaris mengambil ilham daripada pertandingan rali dunia yang termasyhur itu. Toyota mencipta GR Yaris sepenuhnya sebagai kereta rali yang dibuat dengan tujuan untuk bersaing di Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebelum memperbaiki dan menyesuaikannya menjadi hot hatch jalan raya berprestasi tinggi. GR Yaris adalah model homologasi pertama Toyota untuk WRC sejak Celica GT-FOUR yang kali terakhir dihasilkan pada tahun 1999. Dibangun menggunakan platform unik yang menggabungkan platform GA-B terkini (daripada generasi terbaru Yaris hatchback) dan bahagian belakang yang diadaptasi daripada platform GAC (digunakan untuk Corolla dan C- HR), GR Yaris ialah model pertama yang dibina di kilang pemasangan khas GR di Motomachi, Jepun dimana fasiliti sama turut bertanggungjawab mengeluarkan supercar Lexus LFA.

Direka dengan kerjasama pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team dan Tommi Makinen Racing, di bawah kepimpinan ketua pasukan dan legenda WRC Tommi Makinen sendiri, GR Yaris mendapat kelebihan daya saing dari segi pembinaan kenderaan, teknologi dan kepakaran sejak peringkat awal penciptaannya. Pereka dan jurutera WRC dapat menumpukan perhatian untuk menyempurnakan reka bentuk aerodinamik, pengagihan berat dan pembinaan kereta yang ringan menjadi tiga kualiti utama untuk mencapai prestasi dan pengendalian. Hasilnya ialah garis atap yang lebih rendah untuk meningkatkan prestasi aerodinamik, GR Yaris ini dikuasakan dengan enjin turbocas 1.6-liter, kedudukan bateri diletakkan pada bahagian but kereta untuk keseimbangan casis yang lebih baik untuk meningkatkan pengendalian, kestabilan dan tindak balas. Kelahiran kerangka badan tiga pintu daripada material ringan termasuk aluminium dan polimer serat karbon untuk mendapat nisbah kuasa kepada berat yang mengkagumkan sementara platform baharu memberi ruang untuk jajaran belakang yang lebih luas dan sistem suspensi belakang double wishbone baru.

Bentuk reka bentuk hadapan GR Yaris yang garang dan mengancam, menyerlahkan identiti yang sangat kompetitif. Bukaan besar di hadapan mengikut bentuk radiator dan telah direka untuk prestasi penyejukan maksima sementara bukaan udara menegak di kedua sisi bumpar hadapan berfungsi untuk menyejukkan brek. Permukaan dengan tekstrur di bampar hadapan berfungsi untuk menyerlahkan kedudukannya agar tampil lebih lebar dan rendah. Reka bentuk bahagian belakang, GR Yaris pula mendapat sentuhan bumbung yang menirus dengan tiang belakang yang disempurnakan dengan spoiler GR yang tinggi bertujuan untuk meningkatkan down force keseluruhan. GR Yaris dilengkapi dengan rim aloi diperkukuh 18-inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18. Eksklusif untuk Performance Pack Edition, Lencana khas GR juga menghiasi bumpar depan, fender depan dan pintu belakang

Dikuasakan enjin tiga-silinder 1,618 cc sebaris, DOHC dan intercooler turbocas, GR Yaris mampu menghasilkan kuasa maksima 261 PS pada 6,500 rpm dan tork 360 Nm pada 3000-4600 rpm. “Enjin 1.6 liternya mematuhi peraturan WRC 2. Kita boleh menggelarnya sebagai enjin tigasilinder terkuat di dunia, unit turbo 1.6 liter yang paling ringan dan terkecil yang kini dalam pengeluaran,” kata Atsunori Kumagaya yang mengetuai projek pembangunan GR Yaris. GR Yaris tersedia dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (Intelligent Manual Transmission) yang mengesan operasi pernukaran gear oleh pemandu dan memadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan rasa yang lancar dan selesa ketika peralihan gear. Setiap perincian dihasilkan untuk menyerlahkan prestasi cemerlangnya.

Dengan menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), GR Yaris menawarkan mod pemanduan Normal, Sport dan Track. Ini adalah yang pertama dibangunkan sejak sistem pacuan empat roda yang ada untuk Toyota GT-4 sekitar 20 tahun lalu. Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui gandingan tindak balas tinggi dan klac jenis multi-plat yang dikawal secara elektronik yang menguruskan pemisahan kuasa antara roda depan dan belakang. Dalam mod Normal tork ialah dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang, dalam mod Sport agihan tork adalah 30:70 sementara dalam mod Track, agihan tork adalah 50:50 yang seimbang. Performance Pack Edition juga menyaksikan GR Yaris dilengkapi dengan limited slip differential (LSD) Torsen®.

Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan tetapan yang ditentukan untuk memaksimumkan cengkaman tayar. Bar anti-roll depan Performance Edition Pack lebih tebal dan diameter spring pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan. Kuasa pemberhentian datang daripada cakera brek dua bahagian berliang dengan saiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan, manakala cakera berliang dalam saiz 297 mm dengan angkup GR merah aluminium dua omboh di bahagian belakang. GR Yarisjuga dilengkapi dengan brek parkir yang dikendalikan dengan tangan secara mekanikal untuk membolehkan belokan maksima seperti dalam perlumbaan rali.

Bahagian dalam GR Yaris menggabungkan keringkasan, elegan dan fungsi yang menyerlahkan sisi kesukanan dan prestasi. Keringanan sekali lagi menjadi hal utama dan ini merangkumi rangka tempat duduk yang ringan tetapi teguh dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah untuk tempat duduk sport serta tempat duduk belakang serba hitam. Kereta ini mempunyai stereng multifungsi balutan kulit tiga jejari GR khas, sementara bahagian dalaman keseluruhannya berwarna hitam dengan perincian trim rona perak di pemegang pintu dalam, lubang udara sisi dan konsol tengah. Ketelitian GR Yaris terhadap perincian sangat mengkagumkan. Pedal sukan aluminium yang digerudi yang direka dengan permukaan yang lebih luas membuatkan menukar pedal menjadi lebih mudah dan membantu pertukaran tumit dan kaki antara brek dan pemanduan laju. Kedudukan pedal,sudut pad dan sudut injak juga telah dikira sesuai dengan titik pinggul pemandu untuk mendapatkan kawalan yang terbaik. Paparan maklumat dalam GR Yaris terdiri daripada meter analog yang menampilkan angka putih dengan penunjuk merah untuk pemanduan sport dengan jarak pandang tinggi, dan paparan multi-maklumat berwarna TFT 4.2-inci (MID) dengan penunjuk pacuan semua roda yang memaparkan taburan tork dan mod pemanduan yang dipilih untuk sistem GR- FOUR, penunjuk kedudukan gear, serta monitor tekanan turbo. GR Yaris juga mempunyai head-up display (HUD).

Sistem media hiburan GR Yaris ini disediakan dalam bentuk skrin sentuh 7-inci dengan Apple CarPlay™ dan Android Auto™ Connectivity*, radio FM, USB, Bluetooth® dan sistem audio enam-pembesar suara. Turut terdapat ciri kawalan pendingin udara automatik dwi-zon, cermin pandang belakang electrochromic, stereng elektrik berkuasa (EPS), sistem smart entry pintar, butang kuasa dengan lencana GR, dan tingkap berkuasa dengan fungsi automatik buka/tutup dengan Jam Protection. Sementara itu, sistem penambahbaikan bunyi enjin menghantar bunyi yang menyeronokkan ke dalam kabin bersesuaian dengan pemecutan dan tork yang dikerah.

Berpandukan tahap keselamatan yang tinggi untuk sebuah kereta WRC, GR Yaris diperkasakan dengan sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC). VSC juga dilengkapi mod pakar yang membolehkan pemandu menyahaktifkannya bersama TRC sekali. Ciri standard lain termasuk Anti-Lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), dan Eletronic Brake Force Distribution (EBD). Ciri keselamatan lain yang dipertingkatkan lagi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi PreCrash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), dan Auto High Beam (AHB). GR Yaris ini juga turut dilengkapi dengan perlindungan enam-beg udara SRS, serta beberapa ciri keselamatan tambahan yang lain termasuk Hill-Start Assist Control (HAC), peringatan tali pinggang depan & belakang , cermin sisi kawalan automatik dengan lampu signal, pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan, perakam video kereta, sensor parkir belakang, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS); tali pinggang keselamatan tiga poin dengan Emergency Locking Retractor (ELR) bersama dua pre-tensioners dan force limiters bersama peringatan tali pinggang depan & belakang dan juga Isofix tersedia. Alat imobilisasi,siren dan sensor pencerobohan,serta filem penapis haba premium Toyota. Vehicle Telematics System juga ada sebagai aksesori pilihan. GR Yaris mempunyai jaminan selama lima-tahun daripada tarikh pertama pendaftaran, tanpa had perbatuan (tertakluk terma dan syarat).

Pengeluaran GR Yaris ini hanya sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia dan hanya 200 unit yang diperuntukan di Malaysia, GR Yaris bukan sahaja terhad tetapi sangat istimewa dan unik untuk dimiliki. GR yang sangat mengkagumkan ini boleh didapati di semua cawangan GR Garage. Untuk maklumat lanjut mengenai GR Yaris sila lawati laman web www.toyota.com.my